KUALA LUMPUR: Tokoh ilmuwan Islam disegani dunia, Sheikhul Al-Azhar, Dr Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi, mengingatkan umat Islam di seluruh dunia supaya mengikis pandangan serong terhadap masyarakat Barat kerana tidak semua dari Barat itu jahat.
Beliau berkata, banyak perkara boleh dipelajari daripada mereka termasuk ilmu pengetahuan yang boleh dimanfaatkan untuk kemajuan umat Islam sejagat.
Katanya, pandangan serong kepada dunia Barat perlu dikikis, tambahan pula al-Quran sendiri memerintahkan umat Islam untuk berinteraksi dengan pemeluk agama lain selagi mereka tidak menganiaya agama, negara, harta dan tempat ibadah Islam.
"Jangan beri pendapat terlalu umum terhadap Barat, bukan semua orang Barat jahat, dan jangan terburu-buru menghukum mereka.
"Ada juga yang menyokong Barat kerana memberi faedah kepada Islam, dan ramai orang Barat baik dan memeluk Islam seperti di Universiti Al-Azhar ada lebih 30,000 orang.
"Tanggungjawab kita untuk menunjukkan teladan yang baik kepada mereka (Barat)," katanya pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen Khas Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Dakwah dan Pengurusan Islam kepada beliau, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin dan Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Dr Zainal Abidin Abdul Kadir.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan masyarakat Barat terhadap Islam yang menganggap penganut agama itu sebagai pengganas dan menimbulkan ancaman kepada mereka sejak dahulu lagi.
Ketika diminta mengulas pembangunan nuklear oleh kerajaan Iran bagi kegunaan menjana tenaga elektrik rakyatnya dan dianggap Barat sebagai tujuan untuk peperangan, Sheikh Muhammad berkata, umat Islam perlu menyokong sebarang usaha atau ilmu yang dibangunkan kerajaan Islam untuk kemudahan umatnya.
"Apa-apa ilmu yang memberi faedah kepada Islam, kita mesti sokong, tapi jangan gunakan ilmu itu untuk memusnahkan umat Islam sendiri," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai isu politik.
Mengenai perbezaan pandangan fahaman pelbagai mazhab dan sunnah sehingga menimbulkan perbalahan antara umat Islam, beliau berkata, selagi umat Islam berpegang teguh kepada ajaran Islam sejati dan tidak bermusuh dengan Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya, selagi itulah, tiada perbezaan antara mereka.
"Islam agama kita dari Nabi Adam dan Muhammad, mereka yang tidak bermusuh dengan nabi dan sahabat dan berpegang kepada ajaran sejati, adalah Islam, dan tidak ada beza antara puak Syiah atau mazhab lain," katanya yang menganggap perbezaan aqidah adalah sunatullah.
Beliau mahu setiap ulama dan ilmuwan bersikap berani dalam menyampaikan ilmu pengetahuan yang benar tanpa rasa takut kepada sesiapa.
Beliau berkata, tanpa sikap itu dan ikhlas, ilmu pengetahuan yang mereka dimiliki akan hilang tanpa diwarisi generasi umat Islam seterusnya sekali gus menyebabkan tersebarnya kejahilan dan kesesatan yang merugikan semua pihak.