KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak umat Islam di seluruh dunia kembali mengamalkan ajaran Islam sebenar yang relevan sepanjang zaman.
Beliau berkata, umat Islam seharusnya menguasai ilmu, menjalin persaudaraan Islam, mengamalkan cara hidup seperti dituntut agama serta mempelajari agama seperti dalam al-Quran dan hadis sahih, bukannya sekadar luaran saja.
"Walaupun Islam agama yang sempurna, kecenderungan penganutnya menyalahtafsirkan agama dan memesongkan ajarannya menyebabkan umatnya berpecah belah," katanya menyampaikan ucaptama bertajuk Global Krisis Dalam Dunia Islam di Pusat Aktiviti Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak di sini, semalam.
Dalam ucapannya selama kira-kira 45 minit itu, Dr Mahathir turut menghuraikan pelbagai faktor kejatuhan kegemilangan Islam sehingga menjadikan umatnya lemah dan dipandang rendah, manakala Islam sendiri dicap sebagai agama yang mengajar keganasan.
Katanya, kekeliruan atau kepercayaan bahawa sains akan menghakis kepercayaan agama, menyebabkan orang Islam yang memegang kuat kepada agama akan menolak sains.
Dr Mahathir, berkata walaupun sains memainkan peranan amat besar dalam kehidupan manusia, ia menjadi masalah kepada orang Islam jika ada kekhuatiran sama ada ia akan menghakis atau menghapuskan kepercayaan agama.
"Oleh itu, janganlah kita khuatir bahawa mempelajari sains akan menghakis iman kita dan kepercayaan kita terhadap agama. Sebenarnya kita menunaikan satu kewajipan, satu daripada fardu kifayah dengan mempelajari sains," katanya.
Beliau menasihatkan umat Islam supaya mendalami ilmu sains dan agama dengan seimbang supaya dapat menerajui dunia yang lebih jujur, bermoral, kaya dan berpengetahuan tinggi.
Daripada sebuah ummah yang tunggal, Dr Mahathir berkata, umat Islam membiarkan diri mereka berpecah kepada pelbagai golongan, mazhab dan tarikat, dengan masing-masing lebih mengutamakan Islam siapa lebih tulen daripada soal ummah yang satu.
Dr Mahathir menyaran umat Islam perlu memperbetulkan semula diri kerana merekalah yang perlu berubah, bukan secara mengetepikan Islam tetapi dengan kembali semula kepada asas sebenar Islam.
"Fundamental Islam adalah baik. Umat Islam terdahulu yang berjaya membina keagungan tamadun Islam semestinya fundamentalis kerana tidak banyak tafsiran bercanggah yang mengelirukan ummah ketika itu.
"Nabi Muhammad SAW membawa hanya satu agama Islam. Kita perlu kembali kepada Islam yang satu yang dibawa Rasulullah. Kita mesti melakukan ini sebagai orang yang waras, bukannya orang yang emosional," katanya.
credit : Berita Harian, 17 Februari 2008